KUNJUNGAN ke kota Singa baru-baru ini memberi peluang kepada
Pancaindera bertemu dengan penyanyi yang cukup terkenal kerana imej
seksinya iaitu Wann.
Bertempat di kediaman adiknya, Wann menyambut saya dan jurugambar
Jeffri dengan penuh kegembiraan selepas sekian lama tidak bertemu.
''Silalah masuk dah lama teman tak bertemu ye,'' sambut Wann yang masih pekat dalam loghat negeri Peraknya.
Wann, biarpun sudah bergelar ibu kepada dua orang anak hasil
pernikahannya dengan warga Singapura Mohd. Thazah, masih kelakar dan
peramah seperti dahulu.
Penyanyi yang suatu ketika dahulu cukup popular menerusi lagu
Terlerai Kasih berkata, kerinduannya untuk kembali aktif di persada seni
tanah kelahirannya amat menebal sekali.
Wann 30, memberitahu, berikutan kehidupan sehariannya yang terikat
dengan tugas-tugas sebagai rumah tangga menyebabkan sukar untuk dia
kembali aktif.
''Keseronokan memang ada di sini tetapi ada kalanya rindu untuk
bertemu rakan-rakan artis dan kembali aktif menyanyi di pentas tidak
dapat saya elakkan.
''Bagaimanapun, saya bersyukur kerana kesibukan dengan tugas seharian
menyebabkan saya boleh melupakan seketika kerinduan tersebut,'' akuinya
jujur.
Ditanya seandainya dia mempunyai kelapangan waktu sekalipun apakah
suaminya masih terus memberi keizinan kepadanya untuk aktif dengan
bidang seni, Wann berkata, suaminya tidak pernah menghalang
penglibatannya dalam bidang seni.
''Saya dah melakukan pengorbanan yang besar kepadanya dengan
meninggalkan kerjaya sebagai artis dan tinggalkan Malaysia semata-mata
mengikuti suami.
''Justeru suami saya tidak teragak-agak untuk memberi keizinan kepada
saya untuk terus menyanyi,'' katanya sambil memandang dua cahaya
matanya Mohd. Israfel dan Natasha yang turut hadir menemaninya pada
pertemuan itu.
Mengenai kehidupannya di bumi Temasik pula, Wann berkata, selama enam
tahun menetap di sana dia mengakui sudah boleh menyesuaikan diri dengan
keadaan di sana.
Malah kata Wann, dia juga bertuah kerana ada kalanya dia turut
diundang menyanyi dan peluang sedemikian sedikit sebanyak dapat
mengurangkan kerinduannya menyanyi.
Biarpun jarak antara Malaysia dan Singapura tidak terlalu jauh untuk
dibandingkan, namun Wann mengakui, ada kalanya dia ketinggalan mengenai
perkembangan terbaru dunia artis Malaysia.
''Kadang-kadang tu tertinggal juga sebab sekarang ini ramai sangat
artis baru dan bagus-bagus pulak, jadi selalunya saya terlepas untuk
mengikutinya,'' kata Wann lagi.
Mengenai kekerapannya pulang ke tanah air pula, Wann berkata,
kebiasaannya dia akan kembali bertemu keluarganya setiap tiga bulan
sekali.
''Susah juga nak balik selalu sebab suami kerja dan saya juga perlu
uruskan anak-anak yang semakin membesar dan memerlukan perhatian saya,''
kata ibu muda yang tetap seksi dan menawan itu.
Wann juga memberitahu, dia sentiasa mengharapkan pihak pengurusan
syarikat rakamannya di Malaysia iaitu Rock Records akan mempercepatkan
usaha menerbitkan album terbarunya.
Kata Wann, selain dia yang sudah terlalu lama menanti peluang untuk
muncul dengan album baru para peminatnya juga tidak jemu-jemu
bertanyakan tentang perkembangan album barunya.
''Ada kalanya saya juga merasa malu kerana dah tak tahu nak terang
macam mana dengan peminat. Oleh itu saya harap syarikat rakaman saya
akan mempercepatkan usaha tersebut,'' katanya penuh mengharap.
Sebelum meminta diri untuk pulang, Wann meminta kami menyampaikan
salam kepada peminat dan rakan-rakan artis serta wartawan yang masih
mengenalinya.
Sumber : Utusan Online
14-5-2000
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
0 comments:
Post a Comment