Seribu Jelingan Temukan Semula Wann & A.Ali

SUATU ketika dulu penyanyi bersuara serak Wann cukup popular menerusi lagu-lagu ciptaan A.Ali seperti Lamunan Hati dan Terlerai Kasih. Kolaborasi mereka berdua sekitar tahun 1990-an dianggap satu kerjasama yang begitu menjadi.

Namun jodoh antara mereka berdua tidak panjang apabila Wann menyepikan diri setelah berumah tangga dan terhimpit dalam masalah dengan bekas syarikat rakaman lama.

Keadaan dirinya yang menetap jauh di Singapura juga menyebabkan niat hatinya untuk terus aktif dan berkolaborasi dengan A.Ali berkubur.

Namun album Seribu Jelingan akhirnya menemukan semula mereka berdua setelah hampir 15 tahun tidak bersama. 

Lagu ciptaan A.Ali dan lirik daripada Loloq itu bakal dimuatkan dalam album penghargaan khas yang belum berjudul untuk A.Ali terbitan Luncai Emas Sdn. Bhd..

Album tersebut menghimpunkan 16 buah lagu terbaik ciptaan A.Ali sepanjang 25 tahun pembabitannya dalam industri seni. Ia bakal berada di pasaran pada Mei ini. 

“Saya gembira sangat apabila mendapat peluang untuk merakamkan lagu. Lebih menggembirakan saya ialah lagu yang saya rakam merupakan lagu baru ciptaan A.Ali. 

“Mungkin ini satu laluan bagi saya menampilkan sebuah album baru kelak. Insya-Allah kalau kena gaya dan sesuai dengan keadaan, walaupun duduk jauh, saya tiada masalah untuk menerimanya,” kata Wann.

Sebelum menyepikan diri daripada bidang seni, Wann muncul dengan album solo terakhirnya, Kau Bagai Cermin (1992) dan Kompilasi Best of The Best Nostalgia (2002). Sehingga kini Wann telah menghasilkan lebih 15 buah album termasuk album solo dan kompilasi. 

Ibu kepada dua anak iaitu Mohd. Israfael, 11 dan Natasha, 8, itu berkata, sepanjang 10 tahun penyepiannya dia aktif menjayakan persembahan-persembahan di Johor dan Singapura.

Ketika ditanya bagaimana caranya dia menjaga suara dan stamina untuk membuat persembahan, sambil tersenyum Wann berkata, “Saya cuma berjoging dengan anak-anak.”

Walaupun bukan album baru, Wann memberikan komitmen terbaik untuk lagu tersebut demi kerjaya seninya.

Wann hanya mengambil masa setengah hari merakamkan lagu tersebut.
Satu penghargaan

Bagi A.Ali pula, penghasilan album kompilasi tersebut merupakan satu penghargaan buat dirinya.

“Saya berbangga dengan album ini kerana hasil karya saya selama 25 tahun disatukan. Lagu-lagu yang terpilih merupakan lagu-lagu terbaik saya,” katanya.

Antara lagu-lagu yang dimuatkan ialah Menaruh Harapan (Zaiton Sameon), Biarku Menjadi Lilin (Pelangi), Rayuanku (Rohana Jalil), Aku Sudah Jatuh Cinta (Norshila Amin), Kad Ucapanmu (Norshila Amin) dan Diriku Terbelenggu (Francissca Peter).

Mengenai pemilihan Wann, A.Ali berkata, “Saya pernah bekerjasama dengannya dan saya tahu dia merupakan seorang penyanyi yang bagus. Suara dan cara nyanyian menerannya itu lain daripada yang lain.

“Sudah lama saya nak mendapatkan Wann tapi sebab dia terikat dengan syarikat rakaman lama, itu yang tak dapat. Alhamdulillah, kali ini berjaya.”

Tambahnya lagi, lagu terbaru ciptaannya itu berkonsepkan samba latin.

“Saya nak tengok penerimaan masyarakat terhadap konsep lagu sebegini. Kalau dapat diterima, insya-Allah saya akan hasilkan lagu seperti itu lagi,” katanya.


Sumber : Utusan Online
Oleh Nor Fadzilah Baharudin
23 Mac 2006
Share on Google Plus

About Admin

0 comments:

Post a Comment