Tempoh empat tahun sepi tanpa menghasilkan album
baru adalah satu masa yang cukup lama buat penyanyi Wann. Dia mengakui
rasa cemburunya melihat rakan sezaman dengannya yang masih aktif
melahirkan album dan menghiasi program hiburan di tv tempatan.
Apatah lagi dia belum mengambil keputusan bersara malah masih mempunyai kontrak rakaman dengan syarikat Rock Records.
``Setiap kali menonton rakan seperti Fauziah Latiff muncul di kaca
televisyen saya membayangkan turut berada di rancangan itu,'' katanya.
Itulah tanda dia begitu beriya-iya untuk aktif semula.
Namun dalam tempoh penantian itu Wann tidak sunyi apabila syarikat memasarkan album-album kompilasi nyanyian terdahulunya.
Terbaru Rock Records memasarkan album Best of The Best Nostalgia yang
memasarkan lagu-lagu lama yang pernah dia nyanyikan semula.
Lagu lagu seperti Biarlah Aku Pergi, Darah Muda, Aku Dia Dan Lagu,
Perwiraku, Selamat Pengantin Baru, Hilang Terang Timbul Gelap, Bosanova
dan Apa Guna Berjanji dimuatkan di dalam album itu.
Turut dimuatkan lagu-lagu Yang Ditunggu Tak Tiba, Penawar Rindu,
Kuala Lumpur, Ingatan Manis Di Bulan September, Beban Asmara dan
beberapa lagi.
Sebanyak 21 buah lagu petikan album nostalgia yang pernah dihasilkan
dimuatkan di dalam album istimewa sementara menunggu album penuhnya.
``Sebenarnya lagu-lagu tersebut pernah mencatat jualan tertinggi semasa dipasarkan dahulu,'' kata Wann.
Malah dia akui album lagu-lagu lama yang dinyanyikan semula itu lebih laris berbanding album lagu-lagu barunya.
Wann juga sentiasa memberi sokongan kepada syarikat rakaman apabila turut naik dari Singapura untuk promosi album itu.
``Ini album saya, mengapa pula saya tidak menyokongnya,'' kata Wann semasa ditemui baru-baru ini.
Ditanya perkembangan terbarunya, kata Wann dia difahamkan pihak
syarikat rakaman sedang mengatur perancangan untuk menerbitkan album
penuhnya.
Dia dijadualkan memulakan rakaman sekitar Julai depan, kata penyanyi yang terkenal dengan suara meneran itu.
Wann juga masih memenuhi undangan mengadakan persembahan di Singapura dan di Malaysia dalam tempoh menyepi tanpa album baru.
``Saya masih belum puas menghiburkan peminat, apatah lagi banyak peminat bertanya mengenai album baru saya,' kata Wann lagi.
Dia harap perancangan syarikat akan menjadi kenyataan kerana dia tidak sabar lagi menunggu untuk menghasilkan album.
Sumber : Utusan Online
Oleh : Rosli Manah
11 Jun 2002
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
0 comments:
Post a Comment